KEPENTINGAN PENGINTEGRASIAN TEKNOLOGI


Kepentingan Kepada Guru


Pendahuluan 

       Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) banyak memberi manfaat kepada guru dan juga murid-murid khususnya yang di sekolah menengah. Teknologi pendidikan merupakan aplikasi media, sistem, pendekatan dan teknik-teknik ke arah pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Berdasarkan pelbagai kelebihannya, teknologi pendidikan mampu memainkan peranan yang penting bagi mencapai objektif ini. Antara peranan dan kepentingan teknologi pendidikan yang dapat meningkatkan proses pengajaran guru adalah seperti berikut:

 i. Meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pengajaran.

       Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran. Hal ini kerana guru dapat membuat persiapan dan bersedia dengan lebih awal dalam menjalankan proses PdP. Melalui cara ini guru dapat mencari maklumat-maklumat berkenaan dengan pengajaran dengan lebih baik seterusnya dapat menyampaikan kepada murid secara berkesan. Melalui penggunaan alat ICT sebagai alat bantu mengajar, proses PdP akan menjadi lebih menarik dan berkesan. Contohnya menggunakan alat seperti powepoint, flash, video, visual dan mereka hanya perlu mengaplikasikan alatan tersebut ke dalam proses PdP. Melalui cara ini proses PdP dapat dijalankan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk difahami.

  ii.        Pencarian maklumat dengan tepat dan cepat.
              Melalui penggunaan alat ICT guru dapat menerangkan kepada pelajar dengan lebih terperinci serta mendalam mengenai sesuatu subjek. Contohnya penggunaan internet sebagai alat untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai dunia pendidikan. Kemahiran menggunakan internet membolehkan guru dan murid mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang terkini dengan lebih cepat serta efisen tanpa perlu menunggu masa yang lama seterusnya dapat di gunakan dalam aktiviti pembelajaran. Melalui cara ini kualiti pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan kerana maklumat-maklumat dapat terus di akses kedalam sistem.



 iii.        Meningkat kemahiran guru dan murid dalam penggunaan ICT
               Penggunaan ICT dalam proses PdP amat penting kerana ia dapat meningkatkan kemahiran guru dan murid. Melalui penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar akan didedahkan dengan pelbagai alatan dan bahan mengenai ICT seperti komputer, LCD, CD, pendrive, hardware, software, internet dan sebagainya. Semua benda yang berkenaan dengan ICT mempunyai berbagai fungsi dan kegunaannya yang tersendiri dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran disekolah. Hal ini demikian kerana melalui penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar akan lebih menguasai teknologi-teknologi terkini yang dapat membantu dalam memahami setiap subjek yang dipelajari serta menyimpan, memproses dan merekod setiap maklumat yang diperolehi. Kemahiran dalam menggunakan ICT ini mampu memberi nilai tambah kepada guru agar dapat menggunakannya untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar agar ianya mudah untuk di fahami.

iv.        Guru dapat menambah pengetahuan mengenai ICT.
       Guru juga dapat menambahkan pengetahuan mengenai sistem ICT melalui pengalaman yang diperolehi semasa menjalankan proses pengajaran tersebut. Hal ini kerana semasa proses PdP guru dan murid akan saling berinteraksi tentang apa yang dipelajari serta bertukar pendapat mengenai keberkesanan menggunakan sistem ICT ini disamping memberi cadangan bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian. Melalui cara ini guru dan pelajar akan berusaha lagi menambahkan pengetahuan mengenai teknologi ICT ini. Dalam era dunia tanpa sempadan ini guru dan pelajar perlu menggunakan setiap teknologi yang ada agar tidak ketinggalan khususnya di dalam bidang pendidikan yang banyak menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengetahuan yang mendalam mengenai ICT amat penting bagi guru agar ianya dapat di aplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaranbagi memudahkan lagi pemahaman murid.

  v.            Mengatasi Masalah Bilangan Murid yang Ramai
       Perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan dapat mengatasi masalah keberkesanan pengajaran sekiranya melibatkan bilangan murid yang ramai. Guru sememangnya dapat menumpukan pengajaran secara individu sekiranya jumlah murid adalah kecil. Namun, sekiranya berurusan dengan murid yang ramai, penumpuan secara individu adalah di luar kemampuan mereka. Guru juga akan dapat bersama murid di suatu tempat yang sama pada suatu tempoh yang terhad, hal ini juga menjadi faktor penghalang bagi para guru untuk melakukan penumpuan secara individu terhadap setiap murid. Masalah ini dapat diatasi dengan penggunaan perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan yang menawarkan kebolehan menyampaikan maklumat kepada setiap murid secara individu serta menjamin pencapaian yang baik.

  Kepentingan Kepada Murid


       Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) banyak memberi manfaat kepada murid-murid khususnya yang di sekolah menengah. Antaranya adalah seperti berikut:

i.        Membina Kemahiran Kognitif
        Menurut Gagne (1985), murid perlu mengulangi pelajaran beberapa kali untuk memahami sesuatu konsep pembelajaran. Proses pengulangan yang dilakukan melalui perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan lebih membantu murid mengingati sesuatu maklumat berbanding proses pengulangan melalui bahan bercetak. Sesuatu maklumat yang disampaikan dalam bentuk verbal (contoh: lisan dan teks) berserta dengan bentuk visual (contoh: gambar, animasi dan video) akan meningkatkan lagi kadar ingatan dan mencapai semula maklumat dari memori.

  ii.        Menggalakkan Pembelajaran Kendiri
             Keupayaan menyediakan platform pembelajaran kendiri serta jadual belajar yang sesuai dengan murid merupakan dua kelebihan perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan yang telah dibuktikan melalui kajian. Pembelajaran kendiri melalui perisian pengajaran adalah lebih baik berbanding kaedah tradisi, di mana melalui pembelajaran kendiri ini murid boleh mengawal pembelajaran berdasarkan tahap kemampuan serta kesesuaian mereka.

 iii.        Menjadikan Pembelajaran Aktif
            Perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan mempunyai kelebihannya dari sudut interaktif yang tidak ada pada media pengajaran lain. Interaktiviti menggalakkan pembelajaran aktif berlaku dalam kalangan murid pada sebarang peringkat umur dan komputer adalah satu-satunya media yang mempunyai potensi ini. Semakin dinamik interaktiviti, semakin aktif proses pembelajaran akan berlaku. Melalui pembelajaran aktif, banyak kelebihan dapat dicapai seperti menarik tumpuan murid, membina ingatan jangka panjang, pembelajaran lebih pantas dan peningkatan motivasi belajar.

iv.            Menggalakkan Pembelajaran Yang Menghiburkan
           Elemen multimedia terutamanya animasi telah menjadikan pembelajaran berasaskan perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan itu sesuatu yang menghiburkan dan menjanjikan pelbagai kemudahan yang tidak pernah terfikir oleh manusia sebelum ini serta tidak membosankan (Jamalludin, Baharudin & Zaidatun, 2001; ChanLin, 2000). Penerapan nilai hiburan yang tidak berlebihan dalam pendidikan sebenarnya akan memberi kesan yang baik terhadap proses pengajaran dan pembelajaran asalkan ianya tidak menganggu pembelajaran.

 v.        Mempelbagaikan Latar Belakang dan Kaedah Belajar
          Perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan membolehkan penyampaian isi pelajaran kepada murid dalam bentuk yang mudah difahami dan lebih menarik berbanding buku atau media lain dan mampu memenuhi strategi belajar yang bervariasi. Setiap murid mempunyai corak pembelajarannya yang tersendiri. Pengajaran secara tradisi tidak dapat memenuhi masalah corak pembelajaran yang berbeza ini. Namun perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan kini dapat memberikan segala kemudahan ini kepada murid.

vi.        Melibatkan Lebih Daripada Satu Deria
       Pendidikan menerusi perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan akan menggerakkan setiap deria murid untuk terlibat sama dalam proses pembelajaran. Hal ini bermaksud, deria penglihatan, pendengaran, sentuhan dan minda seseorang murid itu akan tertumpu dan terlibat secara aktif dalam proses tersebut. Penglibatan lebih daripada satu deria membawa impak positif terhadap proses pembelajaran. Pembelajaran yang menggunakan satu deria sahaja adalah kurang berkesan berbanding dengan pembelajaran yang menggunakan pelbagai deria.

vii.        Menjimatkan Masa Pembelajaran
       Perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan dapat menjimatkan masa pembelajaran seseorang murid. Banyak dapatan kajian mendapati penggunaan perisian pengajaran dalam teknologi pendidikan mampu mengurangkan tempoh pembelajaran murid jika dibandingkan dengan kaedah tradisi.

viii.        Menggalakkan Persekitaran Pembelajaran Positif
             Penggunaan tekonologi pengajaran yang berkesan dapat merangsang persekitaran pembelajaran yang positif (berkesan) dan dapat menarik minat murid. Penggunaan teknologi terkini seperti penggunaan laptop, tayangan slaid dapat meransang perhatian murid secara optimum jika dilaksanakan dengan sistematik. Terdapat pelbagai pendekatan pembelajaran yang dapat dilaksanakan di dalam kelas dengan mengunakan teknologi pendidikan bagi menjana persekitaran pembelajaran yang berkesan.



     Kesimpulannya, perubahan global menuntut bidang pendidikan kita turut menyahut cabaran semasa. Penggunaan ICT di dalam bilik darjah telah merubah senario pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran pembelajaran diberi sentuhan bagi memenuhi keperluan teknologi semasa. Teknologi maklumat memainkan peranan yang amat penting kepada perkembangan pembelajaran murid. Melalui teknologi, guru-guru memperoleh banyak bahan dan  maklumat yang dapat meringankan tugas guru dan dapat menjalankan pengajaran dengan lebih berkesan. Dalam  PdP bahasa Melayu yang menarik dan efisien memerlukan setiap guru menguasai  ilmu dalam teknologi maklumat supaya murid mendapat kesan positif dan mengelakkan kesan negatif.


Rujukan

Mook Soon Sang (2003). Pedagogi untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 5.        Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (1997). Pedadogi 2: Pelaksanaan Pengajaran. Selangor: Kumpulan     Budiman Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (2011). Pedagogi untuk Pengajaran-Pembelajaran. Selangor:    Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Noraini Idris dan Shuki Osman (2009). Pengajaran dan Pembelajaran: Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

Sulaiman Ngah Razali (2002). Pedagogi Teori dan Praktik. Kuala Lumpur: Dewan         Bahasa dan Pustaka.

Suppiah Nachiappan (2012). Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Sulaiman Md. Yassin, Mohd Salleh Lebar dan Azlina Abu Bakar (2002). Komunikasi      dalam Pengajaran dan Kepimpinan Pendidikan. Shah Alam: Karisma         Production Sdn. Bhd.

Yusup Hashim (1998). Teknologi Pengajaran. Shah Alam: Siri Pendidikan Fajar Bakti.


No comments:

Post a Comment